Penubuhan Kop SDG

Koperasi Matlamat Pembangunan Lestari Berhad (Kop SDG) ialah sebuah koperasi berorientasikan impak yang ditubuhkan bagi menyokong dan memperkasa pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) di peringkat komuniti, institusi dan sektor ekonomi tempatan. 

Kop SDG merupakan jenama rasmi yang dimiliki sepenuhnya oleh koperasi ini, berfungsi sebagai identiti utama bagi semua inisiatif, produk dan program yang dibangunkan.

Kop SDG berperanan sebagai platform strategik untuk merangka, melaksana dan mengembangkan inisiatif pembangunan lestari yang menjana manfaat sosial, ekonomi dan alam sekitar secara seimbang. Melalui pendekatan koperasi, kami menggalakkan penyertaan ahli, rakan strategik dan komuniti bagi membina ekosistem pembangunan yang inklusif dan mampan.

Koperasi ini telah ditubuhkan secara rasmi pada 10 April 2025 dengan matlamat utama menjana peluang menjana pendapatan yang mampan untuk ahli dan komuniti. Selaras dengan mandat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), fungsi utama koperasi ini merangkumi:

Menjalankan Aktiviti Jualan
Melaksanakan Pemasaran & Promosi
Menyediakan Latihan & Bimbingan

Koperasi ini dipandu oleh prinsip Ekonomi Solidariti Sosial (Social Solidarity Economy – SSE) dengan aspirasi mempromosikan inisiatif ‘buy for impact’. Produk-produk di bawah Kop SDG diperoleh daripada rakan komuniti di seluruh negeri di Malaysia — terdiri daripada penggerak komuniti yang mengamalkan amalan lestari yang baik. Setiap produk merupakan produk komuniti yang menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, memperkukuh keusahawanan rakyat, dan mewujudkan kesan sosial yang nyata.

Dengan berpandukan prinsip koperasi dan semangat perkongsian nilai, Kop SDG komited untuk menjadi pemudah cara kepada penyelesaian praktikal yang meningkatkan kesejahteraan masyarakat hari ini tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang.

Visi Kop SDG

Menjadi koperasi peneraju dalam pembangunan lestari berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan di Malaysia.

Misi Kop SDG

  • Menggerakkan inisiatif SDG melalui pendekatan koperasi dan komuniti

  • Membangunkan peluang penjanaan pendapatan berimpak sosial

  • Menyediakan latihan, bimbingan dan pemasaran kepada komuniti

  • Memperkukuh kerjasama strategik pelbagai pihak

  • Mempromosikan amalan beli untuk impak (buy for impact) dan produk komuniti mampan

Jaringan Kerjasama Kop SDG

Kami turut menjalin kerjasama kukuh bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) serta Persatuan Rakan Solusi Matlamat Pembangunan Lestari (PRS-MPL) bagi memperkukuh jaringan advokasi, pembangunan dasar dan pelaksanaan projek berimpak SDG.